Pages

Friday, April 2, 2010

Mengenal Lelaki Disamping Anda

Lelaki yang berada di samping anda itu bukanlah hanya sebuah lembaga tubuh yang sekian ketinggianya, ikal atau lurus rambutnya, putih atau hitam kulitnya. Itu bukanlah insan yang sebenar yang ingin anda kenali. Insan sebenar itu adalah himpunan dari keseluruhan kegiatan-kegiatannya yang terselindung maknanya dan bersambungan lakunya.

Lelaki itu, tidak kira siapa namanya, berapa umurnya, adalah satu himpunan dunia pengalaman yang unik. Apa yang telah di alaminya tidak pernah dan tidak akan di alami oleh insan lain. Lelaki itu adalah hasil satu himpunan perasaan, gedung kenangan lampau dan juga kegigihan harapan masa depan. Dalam dirinya ujud kehidupan dan harapan yang tidak kujung padam, juga terpendam kekuatan tenaga-tenaga yang baru saja dihidupkan. Sembilan persepuluh dari bakatnya belum lagi tersentuh atau diteroka.

Walaupun lelaki itu takut, dia perlu memperkenalkan dirinya kepada alam agar alam mengenalinya seperti mana dan setakat mana dia mengenali dirinya sendiri. Dia melakukan itu agar dia dapat mengenali dirinya dan dikenali dengan lebih mantap dan mesra, hingga ke peringkat yang tidak mampu dilahirkan dengan kata-kata.

Pada diri lelaki itu ujud satu masyarakat yang  tersendiri. Masih ujud ibubapa, ayah, kawan  sahabat, taulan seperjuangan, rakan sepermainan serta setiap dan kejadian yang  pernah melintasi hidupnya. Semuanya itu masih terbenam jauh di lubuk dirinya.

Walaupun mungkin penglibatannya kecil, dia adalah  insan yang turut mencipta sejarah. Dia cuba mencipta sejarah seolah-olah seperti cuba menyeberangi samudera yang menggunung ombaknya. Dia masih mencuba membina satu dunia yang lebih aman bukan hanya untuk kepentingan dirinya sendiri tetapi juga untuk generasi mendatang.

Jauh dilubuk jiwanya, lelaki di samping anda mempunyai amanah yang diliputi oleh lapisan-lapisan persetujuan dan kewibawaan. Walau pun begitu, mana tahu pada satu hari nanti, setelah terpaksa mengakui keujudan kekejaman dunia, atau mengakui bahawa hidupnya tidak sesempurna mana dan begitu juga keperibadiannya,dia mungkin berkata "Meskipun begitu ... aku masih seorang insan yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan, dan aku mengharap serta berusaha ke arah kesempurnaan." Dan anda tahu bahawa dia juga adalah seorang manusia biasa seperti anda. Berilah dia peluang untuk memperbaiki dirinya.

Bukanlah dia hanya mahu hidup di dunia ini untuk dirinya sendiri tetapi juga untuk anda dan insan lain. Dia boleh berhadapan, cuba mengatasi masalah, atau cuba  memahami anda jika itulah kehendak anda. Sebaliknya dirinya perlu juga difahami, terutamanya oleh anda, kerana jika anda tidak memahaminya, dirinya akan terhalang untuk bermesra dengan anda, dan selain anda, siapa lagi yang sepatutnya lebih mesra padanya?


--------------------------------------------------------------------------------

0 komen:

Post a Comment